Skip to main content

Cik Misi - Prolog



PROLOG
Kalut-kalut Alina melangkah masuk dalam ruangan hospital. Langkah dipacu deras menghala ke arah tempat mesin punch card. Sempat mata melirik pada jam di tangan. Lagi lima minit sebelum kad kehadiran dia bakal  bertukar dakwat warna merah!
            Tiba-tiba sahaja alarm daripada telefon pintar Alina berbunyi nyaring. Berselisih dengan orang awam, Alina dipandang pelik. Huh, boleh pula terlupa nak dismiss alarm dekat phone. Apa hal entah hari ini. Hari kelam kabut seduniakah?
           Tangan mengagau telefon dalam tote bag. Mana dia ni? Mana dia menyorok? Itulah akibatnya bila semua khazanah main sumbat dalam tote bag. Dah ala-ala poket doraemon aje jadinya.
           Selalunya Alina jenis bersedia pada malam sebelum tidur. Siap sedia semua barang-barang keperluan. Pakaian seragam berwarna putih bersih memang siap diseterika. Juga tudung senada ditambah line berwarna biru, menandakan jawatannya sebagai jururawat elok tergantung.
            Tapi, hari ini?
            Tak tahulah nak salahkan siapa sebenarnya.
            Atau, mungkin boleh disalahkan lelaki yang kena marah dengan Alina semalam gara-gara menganggu hidupnya sejak dua menjak ini. Rimas hidup Alina bila telefon pintarnya asyik berbunyi. Pagi petang siang malam. Solat lima waktu, makanya lima kali juga pesanan ‘Selamat bersolat’ dan ‘Doakan saya dalam doa awak’ muncul memenuhi kantung pesanan WhatApps.
            Sudahnya, semalam lelaki itu menerima tazkirah panjang lebar tentang hati seorang Alina binti Zikri. Berterus-terang setelah sekian lama Alina cuba untuk berdiplomasi sebab lelaki itu adalah bekas rakan sekolahnya.
            Dan, natijahnya pada pagi yang hening ini…
            “Auch!” Alina terlanggar sesuatu dan Alina hampir-hampir tersungkur mahu mencium lantai hospital sebelum ada sepasang tangan yang menarik tubuh kecil molek itu ke pangkuan tubuh berbau maskulin.
            Suasana jadi hening. Dia kaku sendiri dan mengawal nafas yang laju tadi. Berdebar-debar, sebab dia sudah menjangkakan mukanya akan terhempas pada lantai.
            Chill, nurse.”
            Suara garau itu menyapa deria dengar Alina. Rentak jantung dia sudah sumbang jadinya. Perlahan-lahan dia mendongak. “Hai, cik misi…”
            Bersama seulas senyuman yang membuatkan jantung Alina bagai terhenti berdengup jadinya. Makhluk tuhan manakah sesat pagi-pagi ini, datang sebagai hero penyelamat?
            Are you okey, cik misi?”
            Sayup-sayup sahaja soalan itu. Alina masih fokus pada wajah lelaki ini. Macam pernah nampak. Dekat mana ya? Haih, ayat klise. Ayat perempuan gedik mahu menggatal.
Alina wake up!!!
“Astaghfirullahala’zim.” Rasa macam kena tepuk dengan malaikat, Alina tersedar. Cepat-cepat dia tolak tubuh kekar itu. Allah, bera muka dia menahan malu yang bukan sedikit.
Sah, lelaki ini ada ilmu.
Kalau tidak, takkanlah Alina boleh jadi alpa macam orang tersampuk jembalang cinta. Alina oh Alina, sejak bila jadi careless dengan lelaki ni?
“Maaf… Maaf…” Alina tunduk-tunduk gaya minta maaf bersungguh-sungguh. Kemudian terus melarikan langkah yang hanya tinggal beberapa meter sahaja ke garisan penamat, mesin punch card.
Hatinya tetap sahaja berdebar-debar. Lelaki tadi masih memandang diakah? Oh Alina, jangan toleh belakang. Jangan!
Tapi, itulah… Hati dan fizikal, tidak seiring. Sempat sesaat dua Alina menoleh juga. Dan, sungguh bagai dikata. Mata redup lelaki itu masih memandang dia. Ah, sudah! Jangan pula tiba-tiba ada aduan, seorang jururawat buat sexual harassment dekat seorang… errr… bukan pesakit yang pastinya. Mungkin di kalangan keluarga pesakit. Atau… doktor?!
Oh tidak!
Ting!
Mata Alina membulat. Huwaa… mesin berbunyi menandakan sudah pukul 8.00 pagi. Mana punch card dia pula ni? Mana? Dua minit untuk cari punch card. Hilang ingatankah? Nah, itu dia. Patutlah. Diakan sudah bertukar wad. Cari dekat wad lama, memang sampai ke sudahlah tak jumpanya.
Hesy, pagi-pagi kalau begini. Dia rasa nak ambil cuti aje terus.
Liur ditelan kesat dan payau rasanya.
Tertera angka 8.33 pagi berdakwat merah pada punch card kau, Alina!




Comments